Saya ingin berkongsikan pengalaman saya menguruskan kes salah seorang klien saya. Puan Amy (bukan nama sebenar) baru sahaja menyelesaikan kes cerainya di Mahkamah. Bercerai daripada sebuah perkahwinan yang amat singkat, 3 BULAN!
Mungkin ini perkara yang jarang tuan/puan dengar, tetapi sebagai peguam syarie, saya sudah beberapa kali mendengar kes yang sama. Antara tempoh perkahwinan yang paling singkat yang pernah saya dengar adalah…18 HARI SAHAJA.
Berbalik kepada cerita Puan Amy. Bukan setakat berumahtangga untuk tempoh yang singkat, beliau telah meminjamkan kepada pihak lelaki sejumlah wang yang amat besar untuk membantu menguruskan majlis sebelah lelaki. Amaunnya yang dipinjamkan RM 30 ribu. Wow. Memang besar. Beliau masih menanggung hutang dengan bank untuk sebuah perkahwinan yang sudah tidak wujud.
Tuntutan Hak
Jadi untuk kes seperti ini, saya telah mencadangkan beberapa tindakan lanjut untuk diambil oleh Puan Amy. Yang pastinya, duit RM 30 ribu itu perlu dituntut semula.
Si suami memang berniat untuk menceraikan beliau sebelum perkahwinan lagi.
Selain daripada itu saya turut mencadangkan Puan Amy untuk membuat Tuntutan Muta’ah akibat daripada perceraian yang tidak diduga dan agak mengaibkan bagi sesiapa sahaja yang diceraikan sebegitu rupa. Malah saya difahamkan oleh Puan Amy, dia mendapat info bahawa si suami memang sudah berniat nak menceraikan beliau sebelum perkahwinan lagi. Mungkin disebabkan majlis telah diatur atau mungkin juga ada sebab yang lain perkahwinan mereka terpaksa diteruskan.
Sebagai seorang wanita, saya rasa ini adalah sesuatu yang amat menjijikkan. Walaubagaimanapun, sebagai manusia, saya tidak boleh nak menghukum kerana Allah dan si suami sahaja yang tahu kenapa dia bertindak sedemikian. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada semua yang terlibat samada mereka sendiri, ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain.
Saya turut mencadangkan kepada Puan Amy untuk turut membuat tuntutan-tuntutan yang lain.
Post berkaitan: Hak-hak Wanita Daripada Bekas Suami
Pelikkan kes ini. Kes seperti ini juga boleh berlaku kepada pihak lelaki, dan mereka juga boleh membuat tuntutan ganti rugi. Janganlah biarkan diri tuan mahupun puan dianiaya. Ambillah tindakan, agar perkara yang sama tidak berulang kepada pasangan mereka yang seterusnya.
Untuk kes Puan Amy, saya berharap kami dapat bersama-sama memperjuangkan nasib dan mendapatkan kembali hak-hak yang telah Puan Amy korbankan demi sebuah perkahwinan yang pada asalnya beliau sendiri harapkan mampu bertahan sehingga ke hujung nyawa.