Masih ada yang bertanya apakah itu Mut’ah? Mut’ah adalah pemberian saguhati oleh suami kepada isteri selepas berlakunya perceraian. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.
Bayaran Mut’ah ini boleh dibuat selepas perceraian di Mahkamah yang mana Mahkamah boleh mencatatkan jumlah yang akan diberi oleh suami kepada isteri yang diceraikan. ini boleh terjadi sekiranya suami bekerjasama dan bersetuju ke atas bayaran Mut’ah tersebut. sekiranya tidak, maka isteri boleh memfailkan tuntutan Mut’ah tersebut terhadap suaminya (bekas suami).
Pemfailan tuntutan Mut’ah adalah bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah sekiranya jumlah tuntutan tersebut adalah bawah RM300,000.00. Sekiranya lebih maka tuntutan tersebut adalah dibawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
Dalam penentuan jumlah/kadar, Hakim boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri. Dalam Kitab Mughni al-Muhtaj, juzuk 3 muka surat 249
maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, Qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya
Ini selari dengan Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 236, yang bermaksud:
Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mut’ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
Dengan merujuk kepada ayat diatas, kita ketahui bahawa pemberian Mut’ah adalah satu kewajipan yang telah ditentukan oleh syarak kepada isteri yang telah diceraikan. Nas tersebut juga secara umumnya menetapkan bahawa kadar yang ingin ditetapkan tersebut perlulah mengambilkira faktor kemampuan suami atau defendan samada tergolong dalam golongan senang atau susah.
Jadi, kepada suami yang telah menceraikan isteri janganlah liat dan berdolak dalih dalam pemberian ini, berilah kepada isteri mengikut kemampuan. Boleh jadi dengan adanya bayaran ini boleh menggembirakan hati isteri yang telah diceraikan supaya dapat si isteri meneruskan kelangsungan hidup tanpa suami disisi.
Dalam pengalaman menguruskan kes, ramai suami yang tidak bersetuju untuk menjelaskan tuntutan isteri dan lebih sanggup menjadi Defendan di dalam perbicaraan. Maka hal ini akan menyulitkan isteri kerana proses tuntutan akan menjadi lebih panjang.
Untuk isteri atau Plaintif di dalam kes tuntutan Mut’ah tersebut sekiranya berminat untuk melantik peguam syarie bagi bertindak mewakili kes puan boleh menghubungi pihak kami untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya. Dengan melantik peguam syarie kesilapan dalam pliding (penyediaan dokumen) boleh dielakkan dan perbicaraan kes menjadi lebih mudah.
Walau bagaimanapun bagi suami iaitu Defendan boleh juga menggunakan khidmat peguam andai kata jumlah yang dituntut oleh isteri diluar kemampuan suami dan tidak relevan sama sekali. Kami sedia membantu.