Nikah di Luar Negara? Daftar Nikah Segera!

Assalamualaikum, entry kali ini saya ingin kongsikan pengalaman kes yang pernah diuruskan saya atau rakan bijaksana yang lain iaitu kes Permohonan Pengesahan Nikah.

Kenapa nikah perlu disahkan? Pemohon-pemohon pasti tahu jawapannya.

Nikah bukan tidak sah, cuma perlu didaftarkan

Nikah yang perlu disahkan ialah pernikahan yang dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran Pejabat Agama terlebih dahulu. Contohnya pernikahan yang dilakukan di luar negara mahupun pernikahan yang dilakukan dengan tidak menggunakan wali hakim atau jurunikah yang bertauliah yang dilantik oleh Majlis Agama negeri masing-masing. Pernikahan itu mungkin sah, cuma tidak didaftarkan.

Akta Berkaitan

Boleh didaftarkan jika sah mengikut Hukum Syarak

Seksyen 12 (Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan) memperuntukkan bahawa (2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukkan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan Perintah daripada Mahkamah.

Apa yang ditekankan di atas adalah berkenaan pernikahan yang dijalankan yang dipercayai sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan dengan memfailkan permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Bagi pasangan yang bernikah secara poligami (sudah mempunyai seorang isteri atau lebih), maka permohonan mestilah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah dan sebaliknya jika bukan poligami, maka bidangkuasa bagi mendengar kes tersebut adalah Mahkamah Rendah Syariah.
Di Malaysia ada banyak Mahkamah Syariah, Mahkamah mana yang perlu anda pergi bagi menguruskan pengesahan nikah anda?? Jawapannya adalah Mahkamah di mana anda bermastautin.

Pengalaman

Sepanjang perkhidmatan saya di dalam bidang ini, permohonan pengesahan nikah adalah antara kes dominasi yang difailkan (biasa la, semua orang nak kahwin) yang kebanyakan pernikahan dilangsungkan di luar Negara iaitu Thailand, tanpa dinafikan negara lain tidak kurang juga banyaknya.

Sebagai contoh, pemohon menetap di luar Negara dan terpaksa melakukan akad nikah disana. Untuk mendapatkan Sijil Pernikahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Malaysia, pemohon-pemohon perlu mengesahkan pernikahan mereka sebelum meneruskan pendaftaran pernikahan di Jabatan Agama.

Ada juga pemohon-pemohon yang sengaja bernikah di luar negara agar pernikahan tersebut tidak diketahui oleh isteri pertama dan ada juga atas alasan wanita tidak mendapat restu dari wali. Maka jalan pintas bagi mengikat dan memeterai pernikahan adalah dengan melangsungkan akad nikah di luar negara (tindakan ini jauh lebih baik dari berzina tahu). 

Pasangan sedang hangat bercinta, mestilah hendak melalui fasa hubungan yang seterusnya. Sekurang-kurangnya mereka tidak melanggar hukum Allah, hanya hukum/prosedur dunia yang tidak diikuti. Lagipun pernikahan itu kan satu tuntutan bagi yang mampu.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

annikahu sunnati, wasunnatul ambiyai minqobli faman 
roghiba an sunnati falaisa minni 

Ertinya: Pernikahan adalah merupakan sunnahku dan merupakan sunnah bagi nabi-nabi sebelum ku, barang siapa yang ingkar atas sunnahku maka dia bukan dari golonganku.

Jadi, kalau nak tahu pernikahan itu sunnah hukumnya, jika dilaksanakan mendapat pahala dan jika tidak dilakukan tidak mendapat dosa, dan pernikahan ini merupakan ibadah sunnah yang menyenangkan dan siapapun pasti ingin cepat-cepat melaksanakannyakan….

Pernikahan jenis ini tidak akan menjadi isu sekiranya pernikahan tersebut dilangsungkan dengan cara dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Negara yang didiami dan negara yang menjalankan upacara akad nikah tersebut yangmana selepas pernikahan dijalankan, pihak-pihak mestilah mendapatkan pengesahan konsulat Malaysia di sana.

Bagaimana dengan pernikahan yang tidak menggunakan saluran yang betul contohnya nikah sindiket atau nikah melalui ejen yang tidak menggunakan Jurunikah yang tidak diketahui dan tidak dikenalpasti jawatannya??

Beban membuktikan adalah tertanggung di bahu Pemohon

Sudah pasti proses pengesahan Pernikahan itu akan menjadi rumit, dan kebiasaannya pihak Mahkamah (hakim) akan mengarahkan pihak-pihak membuktikan dokumen yang dilampirkan adalah sah dan diperakui oleh negara yang melangsungkan pernikahan tersebut. Beban membuktikan adalah tertanggung di bahu pemohon. Pemohon-pemohon akan melalui perbicaraan yang panjang, kes terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan pemohon-pemohon melakukan tindakan sehingga memuaskan hati hakim bagi meneruskan pendengaran kes tersebut.

Walaupun prosedur rumit dan boleh menjadi terlalu rumit, dinasihatkan kepada pihak-pihak supaya meneruskan juga kes kerana kegagalan mendaftarkan pernikahan memberi impak yang besar terutama kepada isteri dan seterusnya kepada anak-anak yang akan lahir daripada pernikahan tersebut. yangmana anak tersebut tidak boleh diuruskan surat beranak di JPN dan tidak boleh bernasab kepada ayah iaitu suami kepada pernikahan tersebut.

Tak Daftar Tak Sah

Perkara yang lebih malang akan berlaku adalah sekiranya berlaku perceraian di antara kedua pasangan tersebut. Mereka tidak boleh mendaftarkan perceraian di Mahkamah Syariah di Malaysia. Seperti yang telah saya terangkan di entry sebelum ini, isteri boleh menuntut hak mereka hanya jika pernikahan mereka telah didaftarkan. Perlu difahami bahawa jika pernikahan tersebut tiada didalam daftar nikah maka pernikahan tersebut adalah tidak sah. Oleh itu, daftarkanlah nikah anda segera. 

Wakilkan Peguam

Tapi harus diingat bahawa sebelum memfailkan permohonan pengesahan nikah tersebut, anda perlulah mendapatkan nasihat yang sewajarnya kerana kesilapan dalam mengemukakan permohonan boleh membuatkan kes anda ditolak dan lebih buruk status pernikahan mungkin menjadi tidak sah dan perlu di faraqkan. Anda seharusnya memastikan fakta di dalam afidavit adalah betul dengan situasi sebenar kerana fakta di dalam afidavit adalah keterangan pemohon-pemohon di dalam Mahkamah.

Walau segentar mana keadaannya, pasangan terutama pihak isteri, bertindaklah demi kemudian hari kerana kita tidak tahu apa akan terjadi sekiranya suami tiba-tiba meninggal dunia, isteri akan terkontang kanting sendirian, tiada lagi suami bagi bersama-sama melalui proses pengesahan yang dahulunya beliaulah yang ‘membawa’ anda ke luar sempadan bagi ‘mewujudkan’ pernikahan tersebut.

BERTINDAKLAH DEMI MARUAH DAN HAK ANDA.

KONGSIKAN ARTIKEL INI

Artikel Berkaitan

Ikuti kami di media sosial untuk info terkini mengenai harta, kekeluargaan, panduan dan juga pandangan kami berkenaan sesuatu isu berkaitan undang- undang syariah.

ALAMAT & WAKTU OPERASI

59-3, Jalan 5/76b, Desa Pandan,
55100 Kuala Lumpur, Malaysia
Isnin – Jumaat, 9:00 AM – 6:00 PM
Hakcipta Terpelihara © 2021 Mazidah Husain Associates.